**Sekalipun dunia ini penuh dihujani dengan nikmat Allah S.W.T...D.U.N.I.A bukanlah Syurga....**Orang tidak akan tahu makna KAYA, jika tidak pernah merasa MISKIN..dan orang tidak akan tahu manisnya CINTA..jika tidak prnah merasai pahitnya KECEWA....**Sekalipun dunia ini penuh dihujani dengan nikmat Allah S.W.T...D.U.N.I.A bukanlah Syurga....**Orang tidak akan tahu makna KAYA, jika tidak pernah merasa MISKIN..dan orang tidak akan tahu manisnya CINTA..jika tidak prnah merasai pahitnya KECEWA....**Sekalipun dunia ini penuh dihujani dengan nikmat Allah S.W.T...D.U.N.I.A bukanlah Syurga....**Orang tidak akan tahu makna KAYA, jika tidak pernah merasa MISKIN..dan orang tidak akan tahu manisnya CINTA..jika tidak prnah merasai pahitnya KECEWA....**

Thursday, August 16, 2012

::Nenek Facebook::

Bismillahirahmanirrahim..


Cik Ras Munira. Cuaca petang 7 Ramadan suam-suam panas. Tanpa setitis air yang jatuh dari bumbung rumahnya, dia tetap berasa sejuk. Itik dan ayam sedang riuh dalam reban. Dia sudah mengagihkan makanan pada makhluk-makhluk Allah di sekeliling rumahnya. Waktu berbuka tinggal dua jam lagi. Jika dihitungkan terasa lambat. Namun, sesuatu yang dapat menghilangkan masanya adalah satu perkara itu: Facebook!

Segera tangannya menekan punat komputer riba yang dibeli tunai hasil jualan getah bulan lalu.Anak saudaranya yang mengusahakan dua ekar ladang getah peninggalan arwah suaminya setiap hari datang ke rumah. Pemuda berusia 35 tahun itulah yang menyarankan agar dia memasang Internet dan mempunyai akaun Facebook. Pemuda itu jugalah yang mendaftarkan nama 'Cik Ras Munira' untuknya melayari Facebook.

"Siapa Cik Ras Munira tu, Darwish?" tanyanya, hairan. Darwish senyum nakal. "Maklong kena guna nama begini kalau nak bersembang dengan orang di alam maya. Nanti mereka ingat Ras Munira itu gadis jelita, selayak namanya." Dia mencebik. Rasa geli dengan kata-kata Darwish. "Letak sahajalah nama Hajah Kuntum, nama Maklong!" arahnya. Darwish menggeleng kepala. "Ini zaman Darwish, maklong. Darwish tahu apa yang patut maklong buat untuk masuk ke dunia Facebook. Nah! Maklong cuma tekan di sini sahaja dan boleh berkawan dengan sesiapapun maklong mahu!" Darwish mengajarnya menekan punat utama komputer riba, kemudian jemarinya akan menggesel tetikus ke fail yang bertulis Google Chrome sebelum menekan punat di fail yang tertera kalimah Facebook. Dia tidak perlu memasukkan emel atau kata kunci.

Hari kedua dia melayari Facebook, dia merasakan dia tidak boleh berhenti lagi. Kesal juga kerana berkenalan dengan dunia ciptaan Mark Zuckerberg pada bulan Ramadan. Selalunya, pada Ramadan-Ramadan yang lepas, masanya akan diisi dengan membaca al-Quran. Ramadan tahun ini, masanya berenang dan tenggelam dalam lautan Facebook!

Barangkali kerana tiga nama itu telah menerimanya sebagai teman Facebook mereka. Tiga lelaki yang mendebarkan jiwa dan meluluhkan seluruh kerinduannya.

YB Mat Min Nasir

Melalui catatan-catatan lelaki ini, dia maklum betapa sibuknya seorang yang bergelar Yang Berhormat. YB Mat Min Nasir, begitulah nama yang diletakkan untuk meraih teman Facebook. Setiap hari, selang setengah atau satu jam, YB Mat Min Nasir akan menulis status-status baru tentang tugasnya.

"Hari ini saya dan rakan-rakan akan berbuka dengan rakyat di Lembah Klang. 100 anak yatim akan diraikan di hotel ternama. Ayuh semua! Banyakkan sedekah di bulan Ramadan." Tulis YB Mat Min Nasir. Dia senyum.Hatinya berdetik, bertuah jadi anak-anak yatim itu, dapat berbuka puasa dengan orang besar seperti YB Mat Min Nasir. Dia membandingkan dirinya yang sudah seminggu berpuasa tetapi masih berbuka seorang diri.

"Syukur. Hasil usaha saya dan rakan-rakan, menteri setuju bina jalan raya baru di sini. Saya pasti akan kotakan janji untuk rakyat, ia satu amanah!" Tulis YB Mat Min Nasir di status berikutnya. Dia senyum lagi. Tumpang bersyukur dengan kejayaan YB tersebut. Dari wajah YB yang terpampang di dinding Facebook, dia yakin YB seorang yang gigih dengan cita-cita politiknya.

Tetikus di tangannya menghampiri halaman gambar YB Mat Min Nasir. Wajah YB senyum manis bersama isteri dan anak-anaknya. Entah mengapa, dia pekup mukanya, menghalang air mata menitis ke meja komputer. Dia mendoakan YB itu akan bahagia selamanya bersama isteri dan anak-anak tercinta. Dia tahu, kancah politik di Malaysia tidak menentu. Apa yang menakutkan, sifat saling fitnah - memfitnah dan saling jatuh-menjatuhkan selalu berlaku. Namun, pemimpin sejati, yang mendahulukan rakyat melebihi keluarga sendiri seperti YB Mat Min Nasir akan dikenang dan pasti tidak dilupakan terutama dalam pilihan raya yang bakal menjelang.

Tiba-tiba tangannya terasa mahu menegur YB Mat Min Nasir. Menurut Darwish, jika senarai nama di sebelah kanan Facebook itu berwarna hijau, itu tandanya orang tersebut sedang melayari Facebook juga. Tercungap-cungap dia meneliti abjad di papan kekunci. Inilah kali pertama dia menaip. Betapa sukarnya tetapi kerana perasaan cinta pada YB seorang ini, dia gagahkan tangannya.

"Selamat petang YB. Maafkan saya kerana mengganggu kesibukan YB," tulisnya lambat-lambat. Tidak sampai seminit, YB terus membalas. "Selamat petang Cik Ras Munira. Tak mengganggu. Cik dari mana ni? Petang ini berbuka di mana? Ada yang boleh saya bantu?" Dia pekup muka. Tidak percaya YB yang sibuk akan melayan sapaan remehnya. Matanya melirik sebentar wajah Seniwati Datuk Sarimah Ahmad ketika muda yang diletakkan Darwish sebagai gambar profil Facebooknya. Dia ketawa kecil. "Saya dari Utara Tanah Air. Berbuka di rumah. Saya bukan nak minta bantuan YB, nak tanya satu soalan pada YB. Mak YB masih hidup lagi ke?" Agak lama dia menunggu jawapan YB Mat Min Nasir. Apakah perasaan YB itu dengan soalannya tadi? "Alhamdulillah, mak saya masih hidup. Kenapa Cik Ras Munira tanya?" balas YB. "Sampaikan salam pada mak YB. Dia tentu bangga ada anak yang berjaya seperti YB. Tentu kesakitannya masa melahirkan YB dulu terubat melihat YB yang hebat seperti sekarang." Dia tidak dapat meneruskan tulisan. Azan Maghrib berkumandang dan dia segera beredar ke meja makan walaupun hatinya masih mahu bersembang dengan YB Mat Min Nasir.

Ustaz Amir MarjanSelesai menunaikan solat sunat Terawih di surau, dia segera pulang ke rumah. Tanpa menanggalkan telekung, tangannya sudah menekan punat komputer riba. Hatinya kuat mengatakan lelaki itu telah membalas mesej di kotak Facebooknya. Tekaannya tepat!

'Cik Ras Munira yang dihormati, terima kasih kerana menghubungi saya. Esok saya akan berangkat ke Kemboja untuk menyerahkan sumbangan Ramadan kepada penduduk Islam di sana. Jika Cik Ras Munira berminat untuk menyumbangkan wang atau makanan, boleh berikan pada saya, Ustaz Amir Marjan.'

Dia senyum pendek. Hatinya berkira-kira untuk membalas kembali mesej tersebut. Inilah sahaja caranya dapat berkomunikasi dengan Ustaz Amir Marjan.

'Macam mana nak bagi? Ustaz boleh datang ambil wang tu daripada saya? Saya teringin berjumpa ustaz.' Begitulah kira-kira mesej yang ingin ditulisnya, namun ia hanya tergantung di kotak fikiran. Dia malu jika ustaz tahu dia adalah seorang wanita tua yang sepi. Malah, dia bukan teringin sangat untuk menderma melalui ustaz tersebut, dia cuma mahu menegur ustaz muda yang kini sudah muncul di televisyen. Hatinya kepalang cinta kepada lelaki itu, seperti cintanya kala melihat gambar YB Mat Min Nasir.

Dia membaca status-status di dinding Facebook Ustaz Amir Marjan. Selang satu jam, ustaz itu akan memperbaharui catatannya. Hairan juga dia. Dalam kesibukan ustaz, masih sempat dia menulis di Facebook.

'Peluang untuk anda semua membuat amal jariah di Kemboja dan Palestin. Salurkan bantuan melalui kami sebanyak RM200 untuk daging akikah. Resit pengecualian cukai akan diberikan.' Tulis Ustaz Amir Marjan. Dia membaca lagi catatan ustaz.

'Di kala hidup kita bermewah dengan makanan, fikirlah saudara-saudara Muslim kita di seluruh dunia. Hari ini, tentera Syria telah membunuh 200 penduduk Islam di Utara Syria. Manakala di Myanmar, berlaku penghapusan etnik Islam Rohingya. Saudaraku, bayangkan jika kita berada di tempat mereka? Dia terharu. Tulisan Ustaz Amir Marjan amat menyentuh kalbunya. Ustaz itu amat prihatin dengan masalah umat Islam. Di manakah ustaz berada sekarang? Di Palestin? Di Kemboja? Jangan-jangan ustaz kini berada di Syria atau Myanmar? Hatinya diterbak bimbang. Oh Tuhan, walau di mana Ustaz Amir Marjan berada, Kau lindungilah dia.

Matanya menangkap gambar Ustaz Amir Marjan. Wajah ustaz itu tersenyum kepada pembaca Facebooknya. Ustaz itu lebih muda daripada YB Mat Min Nasir dan lebih cerah kulitnya. Tetapi, dalam hatinya yang diselimuti cinta, kedua-dua lelaki itu amat disayanginya, tiada beza. Dia ternampak ada tanda hijau di tepi gambar kecil Ustaz Amir Marjan.

"Ustaz..." tulisnya

"Ya, Cik Ras Munira apa khabar?" balas Ustaz Amir Marjan.

"Saya rindukan ustaz.." Mahu sahaja kata-kata itu ditulis tetapi ditahannya. Nanti apa pula kata Ustaz Amir Marjan?

"Ustaz tak balik kampung? Berbuka puasa dengan mak? Ataukah mak ustaz sudah meninggal dunia?" Entah, kata-kata itu tidak dapat ditahan. Mungkin Ustaz Amir Marjan sedang membacanya. Beberapa minit menunggu, Ustaz Amir Marjan tidak membalas mesejnya. Dia menghela nafas.

Shamsul Tohari'Hai Cik Ras Munira, boleh berkenalan?' Tiba-tiba dia dikejutkan dengan sapaan Facebook seorang lelaki bernama Shamsul Tohari. Serta-merta dia melupakan Ustaz Amir Marjan dan menumpukan kepada lelaki muda baya Darwish, anak saudaranya. 'Boleh..boleh..' tulisnya cepat. 'Cik Ras Munira tak tidur lagi?' tanya Shamsul Tohari. 'Tak tidur lagi. Orang bujang macam saya ni selalu tidur lewat,' balasnya. 'Oh, bujang lagi Cik Ras Munira..'Dia menahan perut membaca balasan si Shamsul Tohari. Entah mengapa, hatinya mahu melayan bicara Shamsul Tohari yang mula 'nakal'.

'Isteri Shamsul Tohari dah tidurkah?' tanyanya. Dia baharu membaca status Facebook Shamsul Tohari yang ditulis petang tadi.'Walaupun panas terik hari ini, demi hajat isteri tercinta, hamba sanggup memandu dari Gombak ke Temerloh membeli ikan patin Sungai Pahang.' Begitulah yang ditulis Shamsul Tohari siang tadi. Besar sungguh cintanya pada isteri. 'Isteri saya dan anak-anak dah tidur. Cik Ras Munira masih belajar atau sudah bekerja?' Dia mahu tergelak dengan soalan Shamsul Tohari. Tetapi bagus juga, lelaki ini mengaku sudah berkeluarga. Barangkali mahu menunjukkan kepadanya dia seorang yang jujur.

'Bertuah isteri Shamsul dapat makan ikan patin Temerloh,' tulisnya.'Jika Cik Ras Munira nak makan pun, saya sanggup belikan,' Shamsul beramah. Dia mencebik bibir, rasa cemburu menerbak.

'Hari raya ni Shamsul pulang ke kampung sendiri atau kampung isteri?' tanyanya. 'Saya nak pulang ke kampung sendiri tapi isteri dan pesan awal-awal pulang ke kampungnya dulu di Negeri Sembilan. Saya ikut kata isteri sebab nanti dia merajuk panjang.' Jawapan Shamsul Tohari menyebabkan dia sedih. Mengapa dia perlu cemburu? Dia adalah perempuan tua, sedangkan wanita di sisi Shamsul Tohari di Facebooknya adalah seorang yang jelita dan bergaya. Dia tidak berminat lagi berbual dengan Shamsul Tohari.


Sebelum menutup komputer ribanya, hatinya mengarahkan jemarinya menaip sesuatu di dinding Facebook. 'Jikalau masa mereka dapat kutukar dengan nyawaku, nescaya aku sanggup berikan nyawaku pada mereka.'

Pagi itu Darwish terkocoh-kocoh masuk ke rumahnya tanpa memberi salam. "Kenapa Maklong berikan komputer ni pada anak saya? Dia tu tahu main game sahaja!?"Darwish menyuakan kembali komputer ribanya. "Nampaknya komputer ni dah ambil banyak masa aku. Lebih baik aku baca Quran Darwish! Ramadan dah masuk minggu kedua, aku baru baca muka pertama Surah al-Baqarah. Dahlah! Lalaikan aku sahaja Facebook kau tu!" Dia memalingkan muka.

"Saya simpati dengan Maklong. Sekurangnya bila ada Facebook, maklong ada kawan. Maklong taklah bercakap dengan itik dan ayam dalam reban sahaja," pujuk Darwish.

"Lebih baik cakap dengan binatang-binatang tu, mereka tak hipokrit. Dalam Facebook, kerana Ras Munira kau, baharulah ada yang nak menyapa Maklong." Dia menjuih bibir.

Telefon rumahnya berdering. Dia menolak komputer riba yang disuakan Darwish dan berjalan ke sudut telefon. Darwish hanya memerhatikan tingkah-lakunya. Selepas meletakkan kembali gagang, dia mengamit Darwish. Wajahnya bercahaya keharuan.

"Darwish, Maklong ucapkan terima kasih. Kau dah tolong Maklong, sebagai ganjarannya ambillah komputer tu. Maklong tak perlukan lagi. Anak-anak Maklong nak balik berbuka dan berhari raya dengan Maklong tahun ini. Syukur, Alhamdulillah." Dia mengesat air mata gembira.

"Cuma satu Maklong nak pesan.." sambungnya. "Jangan kau bagitau mereka, siapa tu Ras Munira. Itu rahsia kita berdua sahaja!" katanya memberi amaran. Darwish ketawa kecil.

"Anak-anak Maklong orang berjaya, tetapi seorang pun tak prihatin dengan Maklong.." kata Darwish. "Zaman dah berubah Darwish. Orang lebih banyak masa dengan Facebook berbanding emak sendiri," balasnya. Di matanya terbayang anak-anak lelaki kecintaannya; YB Mat Min Nasir, Ustaz Amir Marjan dan Shamsul Tohari.